![]() |
IDRIS Mohd. Ghani menunjukkan keris dari batang nibong yang mempunyai nilai seni yang tinggi.
|
MELAKA 28 Julai - Golongan pereka cipta yang berjaya dijejaki dalam program Jejak Inovasi selama tiga hari di negeri ini menyifatkan program anjuran Yayasan Inovasi Malaysia (YIM) dan Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (Mosti) telah memberikan pengiktirafan kepada hasil ciptaan mereka.
Bagi mereka, kehadiran penjejak inovasi berkenaan selain mengiktiraf hasil ciptaan mereka, ia juga dilihat memberi perangsang kepada mereka untuk terus menghasilkan produk yang lebih kreatif dan inovatif pada masa hadapan.
Ali Kassim, 59, yang membuat parang daripada besi terpakai sejak lebih 20 tahun lalu bersyukur apabila usahanya mendapat perhatian banyak pihak.
"Selain itu, program ini membolehkan saya mendapat nasihat dan pandangan pakar untuk meningkatkan lagi kualiti produk yang dihasilkan," katanya.
Menurut Ali, sejak mula berkecimpung dalam bidang berkenaan, dia hanya dikenali di sekitar kampung halamannya di Sungai Rambai, di sini sedangkan parang dan pisau yang saya hasilkan kualitinya setaraf produk dari China.
Bagi Idris Mohd. Ghani, 56, yang terkenal dengan kerja seni menghasilkan keris hiasan daripada batang nibung menyambut baik kedatangan rombongan penjejak inovasi kerana ia merupakan permulaan dalam mempromosikan produknya.
"Saya berharap pihak YIM dan Mosti dapat menilai dan memberikan bantuan sewajarnya untuk meningkatkan pengeluaran keris hiasan ini dan membantu dalam mengkomersialkannya," katanya.
Sementara itu, Ahli Dewan Undang Negeri (ADUN) Sungai Rambai, Datuk Hassan Rahman berkata, program seumpama itu bukan sahaja mampu mempromosikan produk golongan pereka cipta, malah secara tidak langsung memperkenalkan kawasan-kawasan terpencil di sekitar Melaka.
Katanya, selain Bandar Hilir yang menjadi tarikan utama pelancong ke negeri ini kerana tinggalan artifak sejarahnya, kawasan kampung juga mempunyai keunikannya yang tersendiri yang tidak diketahui ramai.
"Kawasan kampung juga boleh menjadi sebahagian daripada lokasi yang patut dilawati oleh pelancong yang datang ke negeri ini kerana selain mempunyai pemandangan yang indah, terdapat juga keunikannya yang tersendiri kerana tersembunyi golongan pereka cipta yang kreatif," katanya.
Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2011&dt=0729&pub=Utusan_Malaysia&sec=Selatan&pg=ws_02.htm#ixzz2B39wwHE0
© Utusan Melayu (M) Bhd









0 comments:
Post a Comment